Saturday, June 5, 2010

Happy Birthday Dato'

.
Semalam, 4 Jun, merupakan hari ulangtahun kelahiran Dato' Sharif Shamsuddin yang ke-60. Satu majlis meraikannya telah dianjurkan oleh anak-anak dan isterinya di Ballroom Hotel MS Garden. Mereka telah menggunakan perkhidmatan kami untuk sistem MCP (Multi-Camera Production).

Meriah sungguh majlis malam itu apatah lagi diserikan oleh pelawak-pelawak Nabil, Sh.Shahirah, Angah dan Kumpulan Sepah. Selain terhibur dengan lawak jenaka mereka, para penonton tentunya berpuashati kerana dapat menatap wajah-wajah mereka dengan jelas dan 'besar' melalui shot-shot yang diambil oleh juru-jurukamera kami. Itulah fungsi sebenar Sistem MCP dalam sesuatu majlis.

Di bawah ini video persembahan The Daughter's Duet:


.

Saturday, May 22, 2010

'Skylift Shot' mana ada dalam buku?

.
A Crane Shot is a shot taken by a camera on a crane. The camera is either raised up into the air or lowered to the ground during the shot - thereby dramatically varying the height and the angle-of-view of the shot.

Demikian biasanya takrif Crane Shot dalam buku-buku berkaitan Sinematografi atau Videografi.

Indahku Production berangan nak memperkenal dan mempopularkan istilah baru Skylift Shot. Kami dah Google Search dan Google Book memang belum ada istilah ini. Jadi, kalau ditakdirkan istilah ini popular di masa hadapan mulai tarikh hari ini maka sahlah istilah itu dicipta oleh Indahku Production, ha ha ha..

Tak kisah la kepada komen-komen yang akan kata "alah.. sama je hasilnya dengan Crane Shot..". Soalnya kami tidak menggunakan kren. Kren ialah jentera yang diguna untuk mengangkut atau memindahkan barang-barang, biasanya dengan menggunakan cangkuk. Kami menggunakan Skylift, jentera yang menyerupai kren tapi ada 'bakul' yang boleh menempatkan orang di dalamnya. Asalnya diguna oleh pihak bomba dan penyelamat, atau penyenggara bangunan dan perkhidmatan yang melibatkan kedudukan tinggi. Maka, kami nak namakannya Skylift Shot. Sudah beberapa kali kami menggunakan shot ini dalam produksi kami. Mungkin kelihatan tak pro, tapi hasilnya tetap pro..













































Sedikit sedutan hasilnya (video)


.

Set for MSET

.
Perit getir membangunkan sebuah syarikat memang menjadi kenangan yang tak mungkin dapat dilupakan oleh pemiliknya. Menjadi ralat dan kesal apabila semua kesan kenangan tersebut telah tidak diabadikan atau didokumentasikan dalam bentuk visual sama ada foto atau video untuk tatapan mereka yang di hadapan mahupun pengiktirafan kepada hasil usaha sendiri.

Sedar dari kesilapan tersebut, syarikat MSET Engineering Corporation Sdn Bhd, Paka, Terengganu, memulakan inisiatif mendokumentasikan secara profesional segala kisah perkembangan dan pembangunan syarikat ini. Indahku Production telah diamanahkan tanggungjawab ini.

Sayangnya, sumbangan profesional kami hanya bermula dari saat bangunan lama syarikat ini akan dirobohkan.. malah agak lewat penglibatan kami hanyalah setelah bangunan ini dikosongkan dan dalam beberapa hari lagi akan diroboh..

Namun, di tapak yang sama akan dibangunkan bangunan yang baru sebagai lambang pencapaian dan kemajuan pesat syarikat ini, dan kami telah diberi kepercayaan merakamkan detik-detik penting tertegaknya bangunan ini yang akan mengambil masa 1 tahun, manakala bulan-bulan berikutnya detik-detik perpindahan dan pengisian semula bangunan baru itu.

Syarikat ini telah memilih kaedah produksi ala National Geography untuk scene 'meroboh bangunan lama dan membangun yang baru' di mana rakaman video yang kami buat selama hampir 2 tahun ini akan dipapar secara Time Warp kelajuan 10,000 kali ganda yang mungkin akan terpapar hanya untuk 60 saat sahaja.. di samping photobook yang akan mengabadikan gambar-gambar kenangan yang manis ini.

Insya Allah. Doakan yang terbaik bagi kami untuk MSET..

























Wednesday, April 21, 2010

Pelanggan Tionghua Bergambar di Indahku Studio

.
Sekumpulan pemuda pemudi Tionghua mengunjungi Studio Indahku malam tadi untuk sesi photo shoot memperaga pakaian-pakaian yang mereka hasilkan di butik mereka untuk dimuatkan di dalam katalog yang akan mereka cetak dan edar kepada pelanggan-pelanggan mereka.

Mereka menyewa kemudahan-kemudahan studio photo shoot termasuk khidmat Jurufoto kami dengan kadar yang sangat berpatutan. Kumpulan ini menggunakan model-model mereka sendiri, juga pendandan rambut dan jurusolek.















Saturday, April 3, 2010

Ibu Hamil Menawan?

.

Foto ini yang diambil di Indahku Studio telah memenangi Tempat Kedua Peraduan Ibu Hamil Menawan Majalah Pa & Ma. Sila rujuk majalah Pa & Ma keluaran April 2010 m.s.119.

Apa kata anda pula datang ke studio kami untuk sesi photoshoot untuk menyertai lain-lain peraduan. Kami boleh bikin anda menang.. insya Allah..












Wednesday, March 31, 2010

Tahniah Graduan Kolej Komuniti Wilayah Timur

.
Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Wilayah Timur berlangsung di Dewan Utama Gambang Resort City semalam. Indahku Production diberi kepercayaan membuat liputan langsung MCP (Multi-Camera Production) pada majlis yang meriah itu. Tahniah kepada para graduan.

Sedikit lain dari biasa, paparan video yang tampak di skrin tatkala setiap lulusan naik ke pentas sewaktu namanya disebut akan disertakan caption nama lulusan tersebut. Ini memberikan sedikit impak pada visual ketika beliau menerima sijilnya daripada penyampai.

Indahku Production mempunyai kelengkapan dan krew untuk tujuan seperti itu jika diperlukan.
.

Sunday, March 28, 2010

Wedding Planning Convention @ Dewan Tun Rahah, KL

.
Semalam kami berada di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, memberi perkhidmatan MCP (Multi-Camera Production) sempena Wedding Planning Convention 2010 anjuran UiTM Puncak Alam (Sutera Oganizers).

Agak gemilang juga majlis itu dan sememangnya memerlukan perkhidmatan MCP. Tanpa khidmat MCP maka banyaklah segmen acara di pentas yang tidak dapat dinikmati secara dekat oleh hadirin. 'Dekat' bermaksud imej dipapar secara Close Up dan Medium Close Up. Hadirin akan berpuashati dapat menikmati wajah dan fesyen yang muncul dalam majlis sekalipun mereka duduk jauh dari medan acara.

Antaranya, wajah kedua mempelai yang dirai (pasangan pengantin Fahimi dan Sarah), acara merenjis, 3 segmen pertunjukan fesyen, pertunjukan silat dan kompang, persembahan muzik dan nyanyian, semua ini dapat dinikmati secara 'dekat' melalui dua skrin besar yang terdapat di dua sudut dalam dewan. Demikian juga ketika ucapan dan seminar berlangsung, penyampaian pengucap dan ahli panel dapat lebih dihayati melalui liputan langsung MCP ala-ala di TV tampaknya.
.

Tuesday, March 16, 2010

Keboooom!!

.
Semalam shooting proses meletupkan bukit besi di Chaah, 25km dari Segamat. Satu pengalaman baru. Tak pernah sebelum ini kami shoot di lokasi yang panas, berhabuk dan berbahaya begitu. Tak pernah juga kami kena shoot scene letupan bom berangkai begini..

100 biji bom ditanam di bukit yang sarat dengan batu besi (iron ferrite). Bila semuanya siap sedia, semua pekerja diarah keluar meninggalkan kawasan itu kira-kira 500 meter jauhnya. Semua kenderaan ringan dan berat juga diarah keluar mengosongkan kawasan itu. Medan bergaung itu menjadi sunyi sepi.. 100 biji bom berangkai itu akan diletup secara remote control dari jarak 500 meter.

Habis tu kami macamana? Kami kena berada di lokasi untuk shoot babak letupan itu. Ia mesti dirakam dengan jelas. Ia kehendak skrip. Tapi kami telah diperingatkan akan bahaya-bahaya yang bakal berlaku antaranya percikan dan lontaran batu-batu besi sebesar penumbuk, malah boleh lebih besar lagi dari itu, melayang ke udara ibarat muntahan lahar gunung berapi, kemudian jatuh berselerakan. Bumi di sekitar 500 meter dari pusat letupan pula akan bergegar, berkemungkinan akan membuatkan tebing-tebing bukit runtuh menggelongsor ke bawah..

Isk, isk, isk.. mana berani untuk menggadai nyawa begitu.. bayaran pun bukannya lumayan sangat.. kalaupun lumayan tak akan bermakna apa-apa lagi bila diri dah cedera, cacat atau maut..

Kami tiada pilihan lain.. 2 buah kamera video yang kami pertaruhkan nasibnya.. setiap satu kami set di dua lokasi yang berbeza tetapi agak hampir juga dengan pusat letupan. Satu di set lensa wide angle manakala satu lagi di set lensa medium close-up. Selepas butang rakaman ditekan kedua-dua kamera ditinggalkan, kami pecut lari dengan Kembara ke kawasan selamat 500 meter jauhnya.

20 minit kemudian.. Kebooom!! 100 biji bom berangkai meletup serentak. Bumi bergegar..













Mencari sudut terbaik..












100 biji bom ditanam..












2 kamera diset..












Keboooom!!










Bukan batu sebarang batu..












Ini batu besi..












Korek.. korek.. dan korek..













Alhamdulillah.. semua selamat..
.

Saturday, March 6, 2010

Majlis '3 dalam 1'

.
Malam tadi sempurnalah satu lagi tugas membuat liputan live dengan kaedah MCP (Multi-Camera Production) pada satu majlis di MS Garden, Kuantan. Majlis anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (SUK) itu merupakan majlis '3 dalam 1' iaitu Majlis Penghargaan Pelaksanaan MS ISO 9000, Pelancaran Laman Web Rasmi Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur, dan Pelancaran Perkhidmatan mySMS Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Pahang. Majlis dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Pahang.

Pada majlis itu juga telah ditayangkan sebuah video dan sebuah persembahan slaid yang telah diamanahkan kepada Indahku Production menghasilkannya. Keseluruhan perkhidmatan kami berjalan lancar.

Terima kasih kepada pihak Pejabat SUK khususnya En. Yus, Cik Siti Noordiana, Cik Roshayati dan ramai lagi yang telah memberi kepercayaan kepada kami, juga kepada para pelakon sketsa, pengarahnya dan penulis skrip yang sangat memahami tugas-tugas produksi kami yang ditekan kekangan masa.

Sedutan sebahagian video Sketsa mySMS dipaparkan untuk tontonan.

Wednesday, March 3, 2010

Pro atau Tak Pro?

.
Pro kah atau Tak Pro kalau sesebuah penerbitan video boleh dibuat cepat?

Ahad lalu (10 malam) secara tergesa-gesa kami diminta oleh Pejabat SUK Pahang menghasilkan sebuah video sketsa pendek yang akan ditayangkan jumaat ini sempena sebuah majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang. Video 5 minit itu akan ditayang sebaik saja selesai gimik perasmian di pentas. Sketsa tersebut mengenai khidmat mySMS (Aduan).

Rabu kena tunjuk progres, khamis kena siap dan bersedia untuk raptai.

Kami hanya ada 4 hari saja untuk menghasilkannya?

"Boleh?" tanya mereka. "boleh laaa.." rayu mereka pula..

Seperti biasa, saya jawab saja "boleh.. tapi dengan syarat.."

Selepas berbincang malam itu, keputusan diambil antaranya: 1. menjelang pagi esok (isnin) kena ada orang tulis skrip, 2. menjelang pagi esok kena ada orang sanggup jadi pengarah, 3. menjelang pagi esok sudah ada para pelakon, 4. menjelang pagi esok sudah ditentukan lokasi, 5. esok shooting satu hari sahaja.. dan beberapa perkara lagi, semuanya esok..

Kemudian kami kena masuk studio untuk edit siap narration dan lagu latar.. perghhh..

Yang harunya, pagi isnin tu.. skrip berubah, lokasi berpindah ke Pekan, pelakon bertambah..

Pro atau Tak Pro kerja macam ini? hahaha.. tunggu.. hasilnya..







Tepi jalan baru reka skrip 'spontan'..










Pengarah nak begini..










Cameraman lak sibuk nak jadi Pengarah..










Penulis skrip dah pening..










Pelakon meluahkan pandangan..










Mujur Penerbit cool dan sabar..










Akhirnya Pengarah jadi Pelakon..










Cameraman kena la buat kerja dia..










Sudah kehendak skrip 'spontan'..










Action!



.

Saturday, February 27, 2010

MaulidurRasul @ RTM Pahang

.
Malam tadi buat pertama kalinya majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang diadakan di Auditorium Darul Makmur (ADAM) di Kompleks Penyiaran Sultan Hj. Ahmad Shah, Lorong Sri Kemunting 2, Tanah Putih, Kuantan (berhampiran Kompleks LKIM). Buat pertama kali juga ia dilangsungkan pada sebelah malam. KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan Tengku Puan Pahang mencemar duli menjadi tetamu. Majlis dihoskan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang.

Indahku Production terlibat membuat liputan langsung setempat (MCP - Multi-Camera Production) bersama-sama RTM Pahang, JAIP dan Jabatan Penerangan Negeri Pahang. Kerjasama 4 pihak begini (untuk satu produksi MCP) jarang-jarang berlaku tetapi berkat persefahaman dan semangat kerja profesional tugas-tugas dapat disempurnakan dengan jaya.

.

Monday, February 15, 2010

MCP (Multi-Camera Production / Penerbitan Multi-Kamera)















Satu kaedah penggambaran atau rakaman di mana lebih dari satu kamera digunakan serentak ke atas satu persembahan atau adegan. Misalnya 3 kamera, masing-masing diletak pada posisi yang berbeza dan setiap satu biasanya menggambar jenis shot yang berbeza (seperti long shot, medium shot dan close-up).

Seorang Pengarah atau Pembantu Pengarah akan mengawal sejenis alat pemilih (Switcher atau Video Mixer) untuk memilih mana-mana satu shot secara bersilih ganti, atau mengadun dua shot. Pada masa yang sama beliau juga akan memberi arahan (melalui alat telekomunikasi) kepada setiap jurukamera untuk jenis shot yang dikehendaki.

Ini merupakan kaedah yang menjadi amalan penerbitan di stesen penyiaran televisyen sama ada di dalam studio atau siaran luar.

Indahku Studio menyediakan perkhidmatan MCP untuk membolehkan rakaman program studio ala Malaysia Hari Ini, Selamat Pagi Malaysia, Nasi Lemak Kopi-O, Al-Kuliyyah, Halaqah, Nona, rancangan-rancangan seumpama Berita, Melodi, Studio Nabil, Spontan, dan banyak lagi, sama ada yang berpenonton atau tidak. Rakaman-rakaman seperti itu tidak semestinya dibuat untuk tujuan penyiaran TV tetapi boleh juga untuk tv internet seperti Youtube, Yahoo Video dan lain-lain, atau dihasilkan dalam bentuk DVD untuk dikomersilkan atau hanya sebagai simpanan peribadi.

Indahku Production juga mengadaptasi kaedah MCP untuk digunakan pada majlis-majlis yang memerlukan rakaman atau siaran langsung setempat seperti majlis konvokesyen, forum, pertunjukan pentas, majlis perasmian, majlis perkahwinan dan seumpamanya, dengan sedikit penambahan selain rakaman iaitu majlis tersebut dapat ditonton melalui llayar besar atau peti-peti televisyen yang diletak dibeberapa lokasi di sekitar tempat di mana majlis itu berlangsung.

Kaedah ini sering juga disebut sebagai CCTV (Close-Circuit TV / TV Litar Tertutup), tetapi tidaklah boleh disamakan dengan CCTV yang digunakan untuk tujuan keselamatan, pemantauan atau intipan.
.
..
.